26 Februari 2010M- Laungan selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW bergema di sepanjang jalan bermula dari Masjid Sultan Zainal Abidin hingga ke perkarangan Dewan Solat Utama Masjid Putra, Putrajaya. Perarakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1431H/2010M disambut dengan penuh keinsafan. Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama-sama kontijen Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) turut tidak ketinggalan menyertai perarakan ini.

Gambar 1

Kontijen YWM dan JAWHAR seragam dengan baju melayu lengkap turut berarak bersama-sama kontijen dari kakitangan Kerajaan, badan berkanun, pertubuhan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan para pelajar. Majlis ini dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman, Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan diserikan dengan bacaan ayat suci Al Quran serta ceramah sempena Maulidur Rasul. Seterusnya Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman, turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang untuk 5 kategori yang dipertandingkan bersempena perarakan. Baginda juga turut berkenan untuk menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul SAW kepada tujuh penerima. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid, marhaban dan lagu tema Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Tahun 1431H/2010M. Majlis berakhir dengan keberangkatan pulang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman dan dif-dif kenamaan.

Gambar 2