Berita Am

Gambar 1

Karnival Hijrah 2011

Pada 22-24 Disember 2011 yang lalu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu telah berjaya menganjurkan Karnival Hijrah bertempat di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. Karnival yang julung kali diadakan ini dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. Semua agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri termasuk Yayasan Waqaf Malaysia telah dijemput untuk memeriahkan lagi karnival tersebut.

Selain daripada pembukaan booth-booth dari agensi kerajaan, karnival ini juga turut dimeriahkan dengan pembukaan booth jualan produk-produk IKS negeri Terengganu. TV Al-Hijrah selaku penyiar rasmi turut mengundang wakil Yayasan Waqaf Malaysia, En. Mohd Fazdli Rosli, Eksekutif Bahagian Pemasaran dan Penyelarasan untuk ditemubual berkaitan wakaf tunai dan YWM.

MALPA

MESYUARAT AHLI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH (MALPA) YWM SIRI KE – 6 BIL. 2/2011

Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah (MALPA) Siri Ke – 6 Bil. 2/2011 telah berjaya diadakan pada 20 Jun 2011 bertempat di Dewan Syura Perdana, Tingkat 11, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pusat Islam, Jalan Perdana Kuala Lumpur. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir b. Hj. Baharom merangkap Pengerusi YWM. Pada mesyuarat ini juga telah diperkenalkan Naib Pengerusi YWM yang baru iaitu YBhg. Datuk Haji Anan bin C. Mohd yang telah berkuatkuasa pada 11 Mei 2011 menggantikan mantan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), YBhg. Dato’ Dr. Hj. Sohaimi bin Hj. Mohd Salleh. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh wakil Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan wakil daripada sektor korporat. Pada kali ini, sebanyak Sembilan (9) kertas kerja telah dibentangkan untuk mendapatkan kelulusan daripada Ahli Pemegang Amanah YWM. Mesyuarat ini bermula pada jam 1.15 tengah hari dan berakhir pada jam 3.30 petang.

angkasa

LAWATAN KERJA ANGKATAN KOPERASI KEBANGSAAN MALAYSIA BERHAD KE YAYASAN WAQAF MALAYSIA

Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah menerima kunjungan persaudaraan dari Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) pada 21 Mac 2011 bersamaan 16 Rabiulakhir 1432H. Delegasi yang tiba jam 10.00 pagi ini diketuai oleh Tuan Haji Azhar bin Hamzah, Ketua Unit Bahagian Perkhidmatan Sosial dan Perlindungan ANGKASA dengan diiringi dua pegawai ANGKASA yang lain.

Lawatan yang julung kali diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara YWM dan ANGKASA di samping memberi pendedahan ilmu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan wakaf.

Sesi perkenalan dan pertukaran maklumat antara YWM dan ANGKASA telah dipengerusikan oleh Encik Syarqawi bin Muhammad, Pengurus Penyelidikan dan Produk Wakaf YWM, beliau memulakan sesi tersebut dengan mengucapkan terima kasih kepada delegasi ANGKASA atas kesudian mereka membuat kunjungan persaudaraan ke YWM. Sesi diteruskan dengan pembentangan oleh Cik Haidatul Azia binti Husin, Eksekutif Penyelidikan dan Produk Wakaf YWM yang menerangkan dengan lebih lanjut mengenai latar belakang YWM dan tatacara pengurusan Wakaf Tunai Malaysia oleh YWM.

Pihak ANGKASA turut memaklumkan kepada YWM tentang Pelaksanaan Skim Infaq Lil-Waqf oleh ANGKASA yang bertujuan meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya kepada ahli koperasi yang diperolehi daripada Ahli Anggota Koperasi, Pelanggan Biro Perkhidmatan ANGKASA, Koperasi Ahli ANGKASA dan Kakitangan Koperasi.

Kunjungan persaudaraan ini berakhir pada jam 12.00 tengahari dan diakhiri dengan ucapan jutaan terima kasih oleh ketua delegasi. Beliau berharap agar YWM dan ANGKASA dapat bersama-sama berkongsi maklumat dan pendapat mengenai pelaksanaan dan pengurusan wakaf di Malaysia. Sebelum berangkat pulang, pihak delegasi bertukar cenderamata serta mengambil peluang mengabadikan gambar kenangan.

Gambar 1

Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah (MALPA) Siri 5 Bil. 1/2011

Pada 9 Mac 2011 yang lalu, Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah (MALPA) telah diadakan dengan jayanya bertempat di Bilik Mesyuarat Orkid & Dahlia, InterContinental Hotel & Resorts, Kuala Lumpur. Mesyuarat yang membentangkan 8 kertas kerja itu dihadiri 12 orang ahli termasuk Pengerusi Yayasan Waqaf Malaysia sendiri, Y.B Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir b. Hj. Baharom (B), Naib Pengerusinya, Y.Bhg. Dato’ Dr. Sohaimi Hj. Mohd Salleh yang juga merupakan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan 3 orang wakil dari Majlis Agama Islam Negeri. Mesyuarat yang bermula tepat pada jam 3.00 petang itu berlangsung selama hampir 3 jam berakhir pada jam 6.00 petang. Semoga segala perbincangan dalam mesyuarat tersebut akan memacu Yayasan Waqaf Malaysia dalam perancanaan pembangunan ekonomi dan sahsiah ummah melalui wakaf.

Iklan Jawatan Kosong Gred 17 di YWM

Permohonan adalah dipelawa daripada Warganegara Malaysia yang berkelayakan bagi mengisi kekosongan jawatan di Yayasan Waqaf Malaysia

Jawatan        : Kerani Gred 17

Kekosongan  : 3

Syarat-syarat Kelayakan:

  • Mempunyai kemahiran dalam penggunakan perisian asas Microsoft Office
  • Mampu bekerja lebih masa
  • Rajin dan mempunyai komitmen yang tinggi

Syarat-Syarat Umum

  • Berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan
  • Kelayakan minima Sijil Pelajaran Malaysia
  • Mempunyai lesen yang sah dan kenderaan sendiri
  • Sihat tubuh badan dan bebas dari sebarang penyakit kronik

Sila hantar resume beserta surat permohonan ke alamat emel admin@ywm.org.my atau melalui poskan ke alamat pejabat YWM atau hantar secara terus ke alamat :

Yayasan Waqaf Malaysia

No 13, Jalan Diplomatik 2/2

Presint Diplomatik Putrajaya

Presint 15

62050, Putrajaya.

Tarikh tutup pemohonan : 14 Januari 2011